Kolej
Komuniti Kluang telah mula beroperasi sepenuhnya usai Majlis Penyerahan
Bangunan yang telah diadakan pada 7 April yang lepas. Segala tanggungjawab dan
tugasan dipikul oleh Pengarah Kolej Komuniti Kluang dan tiga orang pegawai yang
telah dipinjamkan secara pentadbiran bagi menjalankan kerja-kerja pentadbiran
dan pengambilan pelajar.
Pegawai-pegawai Kolej Komuniti Kluang telah menjalankan
kerja-kerja promosi bagi program kursus teras yang akan dijalankan secara
sepenuh masa. Promosi dijalankan secara hebahan melalui akhbar dan hebahan di portal
rasmi Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, selain mengadakan pameran di sekitar daerah
Kluang termasuk pameran kerjaya di sekolah-sekolah. Kursus yang ditawarkan
adalah Sijil Modular Kebangsaan Baikpulih Kenderaan Ringan (Automotif) yang
akan bermula pada 16 Julai 2012.
Bersempena
dengan hari pendaftaran pelajar sesi Julai 2012, sebuah Majlis Perasmian Pendaftaran
Sesi 2012 diadakan buat julung kalinya di Kolej Komuniti Kluang usai sesi
pendaftaran pelajar baru yang diadakan pada jam 2.00 petang pada hari yang
sama. Majlis ini akan dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Hou Kok Chung, Timbalan
Menteri Pengajian Tinggi 1 merangkap Ahli Parlimen Kluang dan Timbalan
Pengerusi MCA Bahagian Kluang disaksikan oleh Encik Amir bin Md Noor, Ketua
Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti. Turut hadir ialah Wakil UMNO, MCA dan MIC
daerah Kluang, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Kluang, Pengarah-pengarah Jabatan
Pengajian Kolej Komuniti, Pengarah-pengarah Kolej Komuniti Wilayah Selatan,
Ketua-ketua Jabatan daerah Kluang dan
penduduk setempat.
Pelajar
yang mendaftar bagi Program Sijil
Modular Kebangsaan Baikpulih Kenderaan Ringan (Automotif) adalah seramai 23 orang yang terdiri daripada 9 Melayu, 12 Cina dan 2 India. 85 peratus daripada pelajar
yang mendaftar merupakan penduduk daerah Kluang.
Selaras dengan inisiatif kerajaan yang ingin
memartabatkan pembelajaran sepanjang hayat, Kolej Komuniti Kluang turut giat
melaksanakan kursus-kursus pendek termasuklah Kursus Refleksologi, Kursus
Jahitan Manik, Kursus Kecantikan, Kursus Vokal, Kursus Masakan dan Pembuatan
Kek, dan sebagainya. Tenaga pakar bagi kursus-kursus tersebut telah dipilih
daripada syarikat-syarikat dan individu yang mempunyai pengalaman yang cukup
lama dalam bidang mereka. Promosi bagi kursus pendek ini dilakukan secara
hebahan akhbar, fliers, hebahan di
portal rasmi Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, mengadakan pameran dan
penerangan ringkas di majlis-majlis yang telah dihadiri oleh pegawai-pegawai
Kolej Komuniti Kluang selain promosi secara verbal
oleh peserta-peserta yang telah menghadiri kursus di Kolej Komuniti Kluang.
Sepanjang bulan Mei hingga Julai tahun 2012, sebanyak 51 kursus telah dijalankan yang
melibatkan 956 orang peserta. Kumpulan peserta terbahagi
kepada 417 Melayu, 547 Cina, dan 32 orang peserta
India. Peserta-peserta kursus terdiri daripada penduduk setempat daerah Kluang.
No comments:
Post a Comment