Monday 29 October 2012




Bangunan Kolej Komuniti Kluang


Kolej Komuniti Kluang telah mula beroperasi sepenuhnya usai Majlis Penyerahan Bangunan yang telah diadakan pada 7 April yang lepas. Segala tanggungjawab dan tugasan dipikul oleh Pengarah Kolej Komuniti Kluang dan tiga orang pegawai yang telah dipinjamkan secara pentadbiran bagi menjalankan kerja-kerja pentadbiran dan pengambilan pelajar.
Pegawai-pegawai Kolej Komuniti Kluang telah menjalankan kerja-kerja promosi bagi program kursus teras yang akan dijalankan secara sepenuh masa. Promosi dijalankan secara hebahan melalui akhbar dan hebahan di portal rasmi Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, selain mengadakan pameran di sekitar daerah Kluang termasuk pameran kerjaya di sekolah-sekolah. Kursus yang ditawarkan adalah Sijil Modular Kebangsaan Baikpulih Kenderaan Ringan (Automotif) yang akan bermula pada 16 Julai 2012.  
Bersempena dengan hari pendaftaran pelajar sesi Julai 2012, sebuah Majlis Perasmian Pendaftaran Sesi 2012 diadakan buat julung kalinya di Kolej Komuniti Kluang usai sesi pendaftaran pelajar baru yang diadakan pada jam 2.00 petang pada hari yang sama. Majlis ini akan dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Hou Kok Chung, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1 merangkap Ahli Parlimen Kluang dan Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Kluang disaksikan oleh Encik Amir bin Md Noor, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti. Turut hadir ialah Wakil UMNO, MCA dan MIC daerah Kluang, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Kluang, Pengarah-pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Pengarah-pengarah Kolej Komuniti Wilayah Selatan, Ketua-ketua Jabatan daerah Kluang  dan penduduk setempat.
Pelajar yang mendaftar bagi Program Sijil Modular Kebangsaan Baikpulih Kenderaan Ringan (Automotif) adalah seramai 23 orang yang terdiri daripada 9 Melayu, 12 Cina dan 2 India. 85 peratus daripada pelajar yang mendaftar merupakan penduduk daerah Kluang.
Selaras dengan inisiatif kerajaan yang ingin memartabatkan pembelajaran sepanjang hayat, Kolej Komuniti Kluang turut giat melaksanakan kursus-kursus pendek termasuklah Kursus Refleksologi, Kursus Jahitan Manik, Kursus Kecantikan, Kursus Vokal, Kursus Masakan dan Pembuatan Kek, dan sebagainya. Tenaga pakar bagi kursus-kursus tersebut telah dipilih daripada syarikat-syarikat dan individu yang mempunyai pengalaman yang cukup lama dalam bidang mereka. Promosi bagi kursus pendek ini dilakukan secara hebahan akhbar, fliers, hebahan di portal rasmi Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, mengadakan pameran dan penerangan ringkas di majlis-majlis yang telah dihadiri oleh pegawai-pegawai Kolej Komuniti Kluang selain promosi secara verbal oleh peserta-peserta yang telah menghadiri kursus di Kolej Komuniti Kluang. Sepanjang bulan Mei hingga Julai tahun 2012, sebanyak 51 kursus telah dijalankan yang melibatkan 956 orang  peserta. Kumpulan peserta terbahagi kepada  417 Melayu, 547 Cina, dan 32 orang peserta India. Peserta-peserta kursus terdiri daripada penduduk setempat daerah Kluang.